Aksi suku akhir Piala Malaysia disambung dengan aksi timbal balik di antara Perak FC dan Sabah FC. Perlawanan di Stadium Negeri itu berakhir dengan kemenangan 1-0 buat Perak sekali gus layak ke separuh akhir dengan agregat 3-2.
Perlawanan dimulakan dengan pasukan Sabah lebih banyak mengawal permainan dengan kombinasi hantaran-hantaran pendek.
Sabah mempunyai peluang keemasan untuk mendahului perlawanan pada minit ke-15 selepas Gabriel Peres menyambar hantaran menarik dari Dominic Tan namun percubaannya sedikit melambung.
Peluang buat Perak hadir pada minit ke-36 melalui sepakan percuma Luciano Guaycochea. Namun penjaga gol Sabah, Damien Lim cemerlang menepis percubaan tersebut.
Hasil serangan demi serangan, akhirnya gol yang dinanti-nanti menjelma pada masa kecederaan separuh masa pertama. Pemain sayap berpengalaman, Wan Zack Haikal menjaringkan gol melalui rembatan deras selepas menerima hantaran dari Sunday Afolabi.
Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Separuh masa kedua menyaksikan penguasaan Perak diteruskan dengan beberapa gerak serangan untuk menambah jaringan.
Pada minit ke-65, Perak hampir menambah jaringan melalui Azalinullah namun rembatan menarik dari luar kotak penalti sedikit tersasar.
Selang 10 minit selepas itu, penyerang berbisa Sabah, Ramon Machado mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan namun rembatan pemain dari Brazil itu terkena palang.
Sabah cuba bangkit selepas itu dengan serangan bertali arus ke kubu Perak namun kedudukan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan. Kemenangan ini menandakan Perak mara ke separuh akhir Piala Malaysia dan bakal bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 20 Oktober.
Comentarios