Terengganu FC berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan agregat 4-2 selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 2-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Jumaat.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan TFC bakal berdepan dengan penyandang Piala Malaysia musim lepas, Johor Darul Takzim (JDT) pada 9 Disember nanti.
Beraksi dihadapan lebih 25,000 penyokong setia yang hadir, anak buah Tomislav Steinbruckner tampil dengan cukup garang sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin.
Ia jelas dibuktikan dengan beberapa percubaan dari Terengganu memiliki dua peluang terbaik menerusi rembatan Sony Norde dan Habib Haroon namun ketangkasan penjaga gol The City Boys, Kevin Ray Mendoza menyelamatkan maruah lawan.
Ketangkasan penjaga gol berusia 29 tahun itu terhenti pada minit ke-42 selepas gagal menafikan percubaan kaki kiri leret susulan ‘turning’ baik oleh Ivan Mamut bagi menceriakan penyokong Terengganu. Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 1-0.
Bersambung babak kedua, anak buah Nenad Bacina kembali bersemangat untuk memburu gol penyamaan.
Kelebihan itu berjaya dipadamkan KL City pada minit ke-51 selepas Romel Morales menanduk masuk bola hantaran Haqimi Azim Rosli yang terlebih dahulu membias terkena kaki pertahanan tuan rumah.
Namun begitu, Ivan Mamut sekali lagi membuktikan kemampuan hebat yang dimilikinya ketika aksi memasuki minit ke-67 apabila rembatan dari luar kawasan penalti sekali lagi gagal diselamatkan Kevin Ray Mendoza.
Meskipun kedua-dua pasukan meneruskan aksi bertenaga selepas jaringan tersebut, kedudukan 2-1 kekal memihak Terengganu untuk membawa mereka ke perlawanan akhir.
Berdasarkan rekod, Terengganu pernah bergelar juara Piala Malaysia edisi 2001 manakala lima kali muncul selaku naib juara.
Comments