top of page
  • Writer's pictureEditor

PIALA MALAYSIA: TERENGGANU FC TUNJUKKAN JALAN KELUAR KEPADA SELANGOR FC


Aksi suku akhir Piala Malaysia 2023 hari ini melibatkan pertembungan antara pasukan Selangor dan Terengganu. Perlawanan tumpuan ini telah berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.


Skuad kendalian Tan Cheng Hoe turun dengan barisan terbaik demi merebut tempat di pentas separuh akhir sementara pasukan Terengganu membawa bekalan dua jaringan selepas menewaskan Selangor dalam suku akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tempoh hari.



Pada minit ke-12 permainan, pemain import Selangor Richmond Boakye mencemaskan seketika kubu Terengganu selepas menerima umpanan berkualiti Faisal Halim. Namun ketangkasan penjaga gol Terengganu, Suhaimi Hussin menidakkan jaringan tersebut.


Selang sepuluh minit selepas itu, pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti buat Terengganu selepas mengesan kekasaran dilakukan Safuwan Baharudin terhadap Norhakim Hasan. Ivan Mamut mudah menyempurnakan sepakan tersebut, meletakkan Terengganu mendahului dihadapan.



Separuh masa pertama tamat, Selangor 0-1 Terengganu.



Bersambung aksi di separuh masa kedua, anak buah Tan Cheng Hoe dilihat ghairah melancarkan serangan ke kubu Terengganu.



Gerakan dan percaturan barisan pemain Selangor telah memaksa pertahanan Terengganu bekerja keras.


Pada minit ke-68 permainan, Safuwan Baharudin kembali memberi nafas baru buat pasukan Selangor. Sepakan penjuru yang diambil Faisal Halim disempurnakan Safuwan dengan satu tandukan menewaskan penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin.


Penyerang import Selangor, Ayron Del Valle berjaya menerjah jaring pada minit ke-75 permainan. Namun jaringan tersebut dibatalkan pengadil kerana import dari Colombia itu dikesan berada dalam kedudukan offside.


Empat minit masa tambahan tidak mengubah keputusan perlawanan. Perlawanan tamat, Selangor 1-1 Terengganu.


Kemenangan secara agregat 3-1 yang dicatat anak buah Tomislav Steinbruckner malam ini mengesahkan kemaraan pasukan Terengganu ke separuh akhir. Terengganu bakal berdepan The City Boys, dalam perebutan slot ke pentas akhir Piala Malaysia 2023.

30 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page