Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah, menuntut barisan pemain cuba menghadirkan permainan yang terbaik bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail esok.
Perak berkunjung ke Iskandar Puteri bagi mengharungi perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia, ketinggalan 4-1 dalam perlawanan di Ipoh tempohari.
Tenyata mengakui ranjau yang bakal dihadapi Perak beraksi di SSI, Yusri bagaimanapun tetap meletakkan harapan barisan pemain menterjemahkan corak permainan terbaik malam esok.
"Di sebalik cuaca hujan lebat, kami telah membuat persiapan dengan baik dan sememangnya pemain sudah bersedia untuk perlawanan ini," kata Yusri menerusi Nadi Bola.
"Saya mengharapkan barisan terbaik walaupun ketinggalan, dengan perlawanan berikutnya pada 25 November (bertemu Selangor FC), saya berharap setiap pemain menggunakan peluang ini menghadirkan permainan terbaik bertemu JDT.
"Perak tanpa kapten pasukan, Luciano Guaycochea, namun kami boleh meletakkan sandaran kepada Wan Zack Haikal yang kini semakin pulih daripada kecederaan sebelum ini.
"Ketiadaan Luciano memberikan tamparan hebat buat pasukan, namun saya yakin Wan Zack dapat beraksi bagi memimpin pasukan bertemu JDT.
"Apa yang pasti, kami akan cuba mendapatkan jaringan, kami ketinggalan dalam perlawanan ini, kami akan cuba mengekalkan corak permainan yang sama. Menghadirkan permainan yang menarik serta tidak bertindak pasif.
"Beraksi di pentas separuh akhir, ia adalah peluang buat pasukan cuba menggunakan peluang ini menampilkan kemampuan yang mereka miliki. Saya berharap pemain-pemain beraksi tanpa perasaan gementar, turun ke gelanggang dengan kualiti terbaik sepanjang 90 minit.
"Saya percaya taktikal dan strategi yang saya cuba terapkan ke dalam pasukan Perak, rata-rata pemain kami adalah barisan pemain muda dan apa yang telah diterjemahkan cukup membanggakan saya." Sumber Artikel : Stadium Astro
Comments