Liga Juara Piala MFL diteruskan dengan aksi yang menjadi tumpuan apabila pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) melayan kunjungan Perak FC II.
Aksi yang dilangsungkan di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang itu berakhir dengan kemenangan tipis buat tuan rumah 1-0. Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Safawi Rasid seawal minit ke-2 hasil sepakan percuma.
Biarpun tewas tipis kepada JDT II, CEO Perak FC, Bobie Farid Shamsudin nyata lega selepas melihat barisan pemain Perak berjaya mengekang JDT walaupun tanpa kehadiran pemain import dan pemain senior.
Sudah pasti Bobie berhak untuk berpuas hati dengan persembahan Perak II. Ini kerana JDT II telah menurunkan barisan terkuat mereka termasuk dua pemain senior iaitu Safawi Rasid dan Adam Nor Azlin serta seorang pemain import, Fernando Forestieri.
“Gandingan Forestieri, Safawi, Adam Nor Azlin, Ramadhan hanya mampu menjelmakan 1 gol berhadapan dgn barisan muda PFC (Perak FC) yg bersaing tanpa import dan pemain senior. Tahniah walaupun kalah.
“Team ini dibina dengan segala kekurangan namun malam ini membuktikan masa depan pemain muda kita sangat sangat baik,” luah Bobie seperti dipetik dari laman Facebook TBG Super Fan.
Keputusan tersebut menjadikan Perak FC II kini berada di kedudukan ke-7 Piala MFL dengan mengumpul 2 mata manakala JDT II berada di tangga kedua selepas mengumpul 6 mata dipisahkan satu mata dengan pendahulu, Terengganu FC II.
Commenti