top of page
Writer's pictureEditor

PM: CABARAN SENGIT SEAWAL PUSINGAN 16 UNIFI PIALA MALAYSIA 2024-2025

Saingan Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menyaksikan pertembungan penuh berliku seawal pusingan 16 membabitkan 16 pasukan secara keseluruhan pada edisi ini.


13 pasukan Liga Super dan 3 pasukan teratas Liga A1 Semi Pro bakal mempertaruhkan aksi yang akan dimainkan secara timbal balik bermula dengan pusingan 16 pasukan, suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir (satu perlawanan).


Selepas berakhir majlis undian Unifi Piala Malaysia 2024-2025 yang telah berlangsung hari ini, semua pasukan sudah boleh melakukan persiapan mencongak strategi bagi memastikan peluang melangkah lebih jauh dalam kejohanan ini yang telah memasuki edisi ke-98.


Juara 4 kali Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), yang kini gah di takhta liga akan memulakan langkah menentang kelab dari Liga A1 Semi Pro iaitu KL Rovers FC sebelum berentap di laman sendiri pada perlawanan kedua timbal balik.


Selain itu, pertembungan yang pastinya mencuri tumpuan adalah aksi antara dua pasukan yang mempunyai sejarah besar dalam kejohanan tertua di Asia Tenggara ini iaitu Selangor FC yang pernah menjuarai Piala Malaysia sebanyak 33 kali akan menentang Sri Pahang FC yang kali terakhir menangi kejohanan ini adalah pada musim 2014.


Sementara itu, Kuching City FC yang semakin tunjuk taring pada musim ini bakal melakukan perhitungan dengan Penang FC yang kini berada di tangga ketiga tercorot Liga Super selain PDRM FC akan berdepan Negeri Sembilan FC.


Lain-lain undian memperlihatkan naib juara Piala Malaysia musim lalu iaitu Terengganu FC pula bertemu pendahulu Liga A1 Semi Pro, Melaka FC selain juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC akan berkunjung ke Stadium Darul Aman, Alor Setar melawan anak buah Nafuzi Zain.


Dan melengkapkan saingan kali ini ialah pertembungan kelab Liga A1 Semi Pro, Putrajaya Athletic FC yang turut berdepan cabaran besar apabila bakal beradu kekuatan dengan Sabah FC seawal pusingan 16 ini.


Majlis undian telah disempurnakan oleh bekas pemain kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah serta Azmin Azram Abdul Aziz.


Berdasarkan mekanisme undian yang digunapakai kali ini, pasukan-pasukan “seeded” iaitu JDT, Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC, PDRM FC, Kuching City FC, Perak FC dan Kuala Lumpur City FC diletakkan dalam kedudukan posisi dari 1 hingga 8 berdasarkan kedudukan liga selepas pusingan pertama Liga Super 2024-2025.


Manakala pasukan yang berada di kedudukan 9 hingga 13 selepas pusingan pertama Liga Super dan tiga pasukan teratas Liga A1 Semi Pro diundi untuk menentukan posisi kedudukan ke pusingan 16 yang akan bertemu pasukan “seeded”.


Tiada lagi undian selepas pusingan 16 Piala Malaysia dengan laluan ke perlawanan akhir telah ditentukan berdasarkan keputusan undian pada hari ini.


Pasukan yang tidak dapat meneruskan kemaraan ke suku akhir secara automatik akan meneruskan cabaran di pentas MFL Challange Cup 2024-2025.


Pertandingan Unifi Piala Malaysia 2024-2025 dijangka akan bermula pada 20 November 2024 dan aksi final bakal berlangsung pada April 2025.

5 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page