top of page
  • Writer's pictureSaluddin Ismail

Sabah Tagih Kudrat 5 Pemain Kebangsaan Lawan JDT


Sabah FC meletakkan harapan kepada lima pemainnya yang dipanggil menyertai pasukan kebangsaan untuk memantapkan pasukan bagi menghadapi Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.


Kudrat lima pemain terbabit, Darren Lok, Daniel Ting, Dominic Tan, Damien Lim dan Stuart John Wilkin amat diperlukan selepas beberapa tonggak utama Sang Badak dilaporkan masih mengalami kecederaan.


Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui kehadiran mereka akan memberi ruang terbaik buat Sabah FC tampil lebih mantap pada perlawanan menentang JDT yang ditunggu ramai peminat bola sepak negara.


Katanya, beliau mempunyai masa dua hari untuk melihat tahap kecergasan kelima-lima pemain terbabit sama ada dapat diturunkan atau sebaliknya selepas kembali daripada menyertai skuad kebangsaan dalam perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan dan Hong Kong baru-baru ini.


"Kita tahu ada pemain yang bermain sebanyak dua perlawanan, ada juga bermain hanya satu perlawanan. Ini juga harus diambil kira dan bagi saya mereka adalah pemain yang sangat penting," katanya mengulas persiapan Sabah FC menghadapi JDT.

Sementara itu, Kim Swee menyatakan kebimbangannya mengenai status empat tonggak pasukan yang dilaporkan mengalami kecederaan dan berkemungkinan tidak dapat diturunkan.


Katanya, Sabah FC bergantung penuh kepada laporan perubatan bagi menentukan nasib empat pemain terbabit iaitu Telmo Castanheira, Saddil Ramdani, Jailton Paraiba dan Gary Steven Robbat.


Beliau mengakui keadaan itu sesuatu yang membimbangkan terutama bagi menghadapi JDT selaku pasukan pilihan untuk menjuarai liga.


Kim Swee bagaimanapun menegaskan pasukannya akan cuba memberi saingan yang sengit tidak kira siapa pemain yang akan diturunkan pada perlawanan itu. Sumber : Berita Harian

15 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page