top of page
  • Writer's pictureEditor

SAM USAHAKAN CADANGAN TMJ JEMPUT PEMILIK DAN CEO KELAB LIGA M ADAKAN FORUM ‘LIVE’ DENGAN PENYOKONG


Persatuan Penulis Sukan-Sukan Malaysia (SAM) dilaporkan sedang berusaha untuk menjemput semua pemilik atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab-kelab Liga Malaysia untuk satu sesi forum secara ‘siaran langsung’ dengan penyokong.


Forum tersebut sebelum ini dicadangkan oleh pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebagai platform untuk penyokong kelab-kelab Liga Malaysia mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai pasukan masing-masing.


Ia termasuklah untuk menjawab persoalan penyokong mengenai stuktur gaji pemain di setiap kelab yang dikatakan agak tinggi.


Untuk merealisasikan forum tersebut, wartawan Astro Arena, Hafizal Hamad berkata SAM kini sedang cuba untuk menjadi perantara semua kelab agar ianya dapat direalisasikan.



Cadangan oleh TMJ itu dilakukan selepas terdapat dakwaan kejayaan kelab itu mendominasi kejuaraan Liga Malaysia selama ini didorong oleh kekuatan kewangan kelab itu semata-mata dengan membayar gaji pemain dengan nilai yang tinggi.


Dakwaan tersebut bagaimanapun disangkal oleh TMJ sendiri melalui satu temubual eksklusif bersama Astro Arena baru-baru ini.


Menurut TMJ, ada tonggak tempatan pada musim ini dibayar sehingga RM80,000 sebulan sedangkan bintang JDT iaitu Arif Aiman Hanapi hanya menerima gaji RM25,000 sebulan.


“Kalau nak kata bajet (bajet tinggi), ini saya nak terangkan pasal bajet. Semalam saya nak naikkan gaji Feroz Baharudin dengan Arif Aiman, Feroz berbelas ribu sahaja dan Arif Aiman tak sampai RM25,000 pun gaji.




“Tetapi saya tahu pasukan lawan saya membayar gaji kepada pemain tempatan sampai ke RM80,000 hingga RM90,000. Bukan itu sahaja, pemain import saya Bergson da Silva baru US$300,000 setahun (bersamaan RM1.3 juta).


“Tapi ada (pasukan lain) yang bayar US$500,000 setahun (RM2.2 juta), jadi adakah JDT yang berbelanja atau adakah pasukan lain yang berbelanja,” dedah TMJ.


Walaupun dengan penjelasan tersebut, masih ada segelintir penyokong yang masih tidak percaya dengan ketelusan pembayaran gaji di JDT.


Disebabkan itu, TMJ mencadangkan agar sebuah forum secara siaran langsung membabitkan semua pemilik dan CEO kelab diadakan untuk menjawab terus kepada penyokong masing-masing beserta bukti dan fakta.


Isu gaji terlampau tinggi pemain di saingan Liga Malaysia sering menjadi topik hangat di kalangan penyokong bola sepak tempatan kerana ia dilihat sebagai punca utama mengapa isu gaji tertunggak turut terus berlarutan di negara ini.


Malah ada sesetengah pihak seperti mencadangkan agar siling gaji pemain diperkenalkan untuk mengelak masalah sebegini daripada terus berlarutan.


Sumber Info : Grandstandkita, Astro Arena

5 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page