Kedah mengalami kekalahan besar di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi dengan jaringan enam gol tanpa bolos. Satu demi satu peluang JDT berjaya dimanfaatkan dengan mudah tatkala pemain Kedah terus kehilangan rentak sejak daripada awal permainan.
Kekalahan malam tadi mendedahkan beberapa kepincangan yang masih berlarutan dalam kem Kedah. Kesilapan mudah yang berlaku, komunikasi yang lemah selain pemain demoralise untuk mencipta kebangkitan. Bahkan kegagalan build-up yang sempurna di barisan hadapan terus menjadi kelompongan yang masih tidak diselesaikan oleh Nafuzi.
Sistem Pertahanan-5
Nafuzi mencatur sistem yang berbeza daripada formasi perlawanan-perlawanan sebelumnya. Beliau menggunakan pertahanan-5; dua fullback di kiri dan kanan, dua di half-spaces dan Bojan Ciger kekal mengemudi defensive line di central area.
Dalam sistem ini, Nafuzi mahu pemain lebih cenderung bertahan dan mengawasi kepantasan pemain lawan di bahagian wide. Secara prinsipnya, pertahanan-5 ini sepatutnya mampu untuk menutup ruangan hantaran dan pergerakan lawan khususnya di half-spaces yang seringkali menjadi sasaran pihak lawan mengeksploitasi serangan.
Dengan itu, ia secara tidak langsung memberikan stabiliti bertahan kepada Kedah sambil mengharapkan covering yang baik daripada duo Manuel Ott dan Amirbek Juraboev untuk bertindak menutup passing lane berbahaya daripada lawan.
Dalam out-of-possession, Kedah bertahan dengan 5-4-1. Namun, displin dan fokus bertahan seringkali terganggu dengan kesilapan-kesilapan mudah yang merisikokan pasukan dengan serangan balas yang pantas daripada lawan. Fasa serangan (attacking transition) Kedah pula tidak begitu jelas dan menjadi malam ini. Terlalu banyak defect ketika Kedah cuba untuk membentuk shape serangan ke bahagian depan.
Kesilapan Mudah Pasukan dan Tiada Motivasi
Separuh masa pertama, kita boleh menganggap permainan kedua-dua pasukan masih seimbang. Pemain memberikan challenge kepada lawan walaupun pergerakan pemain agak statik dan terbatas.
Pasukan lawan mula menunjukkan graf permainan agresif yang tinggi memasuki separuh masa kedua. Tiga gol berturut-turut hadir dalam tempoh tujuh minit bersambung dalam keadaan pemain-pemain Kedah masih dalam fasa untuk bangkit.
Pasukan lawan sedar jurang kekuatan yang depa miliki. Tidak pelik kerana depa sememangnya mengatur strategi mendapatkan gol-gol awal ketika pemain lawan masih belum settle down. Ini senjata yang kerap kali berhasil bagi pasukan tuan rumah.
Situasi tersebut memaksa permainan pasukan Kedah menjadi semakin tidak tersusun dan memudahkan untuk pasukan tuan rumah meneruskan gerakan agresif ke atas pelawat.
Pasukan Kedah pula tidak menunjukkan reaksi balas selepas ketinggalan empat gol. Di sini juga tipping point motivasi pemain Kedah yang sudah mulai menurun. Hantaran tidak tepat kepada rakan sepasukan berterusan berlaku sehingga membuka peluang kepada lawan melancarkan serangan balas. Ia adalah garis kualiti permainan individu yang jelas berbeza.
Dalam masa yang sama, Kedah tidak dapat membentuk shape serangan yang lebih tersusun. Sokongan untuk build-up ke depan juga tidak berlaku menyebabkan lawan mudah mendapatkan semula bola. Akhirnya Kedah terus menerus menerima ancaman daripada pihak lawan.
Pergerakan pemain-pemain lawan yang pantas bergerak mengeksploitasi ruangan kosong between the lines serta kreativiti permainan yang tinggi ditunjukkan oleh depa merosakkan shape bertahan yang cuba dibentuk oleh pemain Kedah. Kita terperangkap dalam pergerakan pantas lawan sehingga menyebabkan kita berterusan melakukan kesilapan mudah dan menghadiahkan lawan dengan dua sepakan penalti.
Mujurlah pengadil sempat berfikir secara 'rasional' tidak memberikan sepakan penalti sekali lagi kepada lawan selepas Arif Aiman melepasi garisan sebelum sepakan diambil. Dalam keadaan itupun pemain Kedah tidak bertegas membantah keputusan pengadil untuk re-take semula penalti. Jika tidak, ia adalah 'hadiah' paling berharga untuk tuan rumah yang akan dikenang selamanya.
Mencipta Kebangkitan yang Bersisa
Nafuzi memasukkan trio Balotelli, Fayadh Zukifli dan Mior Dani dan Kedah mula kembali kepada formasi 4-3-3. Namun, ia tidak memberikan apa-apa impak segera walaupun ada hantaran-hantaran dilakukan ke dalam kotak penalti lawan.
Pemain-pemain agak statik dalam pergerakan dan tidak mobile sebagaimana biasa. Lebih perit adalah individual error yang berlaku menghukum Kedah dengan jaringan demi jaringan dihasilkan oleh jentera serangan lawan. Kedah tewas enam gol tanpa balas dan ia merekodkan kekalahan terbesar Kedah sejak beberapa musim kebelakangan ini.
Perit untuk menerima kekalahan, lebih perit melihatkan permainan Kedah yang serba tidak menjadi malam ini. Kita juga tidak menjangkakan kekalahan besar yang akan diterima walaupun sedar tuan rumah bukanlah lawan yang mudah.
Nafuzi berhadapan kerja rumah yang banyak. Kesilapan mudah yang seringkali berlaku sejak beberapa perlawanan kebelakangan ini harus ditangani segera. Hanya nampak Bojan Ciger memberikan komunikasi terhadap rakan sepasukan. Malah, kelompongan dalam jentera serangan yang diketuai Willian Lira juga perlu perhatian khusus.
Aku rasa kita boleh faham kualiti permainan yang berbeza semalam. Tapi Nafuzi kena tampil bertanggungjawab dan bersikap jujur terhadap permainan di atas padang. Apa sebenarnya yang berlaku kepada kem Kedah sehingga ia menjadi aksi terburuk berhadapan dengan JDT? Adakah pemain tidak menunjukkan profesionalisme dengan tidak mengikuti segala taktikal yang digariskan, atau gugup berhadapan tekanan pihak lawan?
Apakah Nafuzi juga akan mula mempertimbangkan pertukaran penyerang No.9 baharu untuk Kedah? Persoalan-persoalan ini akan menjadi perbahasan panjang untuk skuad Kedah.
Nota Untuk Penyokong
Kekalahan ini mungkin tidak dijangka. Bahkan persembahan Kedah semalam jauh daripada apa yang telah dipamerkan dalam perlawanan-perlawanan sebelumnya. Ada penyokong yang mulai mencemuh, rindukan pemain itu dan ini.
Sesiapa pun bermain dengan cara semalam, hasilnya tetap sama. Kita beri masa sepenuhnya kepada Nafuzi Zain dan pemainnya menggalas perubahan ini.
Comments