Penjaga gol Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menganggap dirinya masih belum sempurna untuk dilabel sebagai penjaga gawang nombor satu negara.
Sebaliknya, penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menyifatkan tiga lagi penjaga gawang yang dipanggil menjalani latihan skuad kebangsaan memiliki kualiti tersendiri.
Katanya, penjaga gol Kedah Darul Aman FC, Kalamullah A-Hafiz Mat Rowi, Damien Lee (Sabah FC) dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Negeri Sembilan FC) memiliki potensi untuk menjaga gawang pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong pada Khamis ini dan Selasa depan.
"Walaupun saya tidak beraksi ketika menentang Turkmenistan pada aksi Kelayakan Piala Asia, saya bersyukur apabila dipanggil untuk menjalani latihan dan ia juga memberi peluang untuk saya menambah kap ke-10 seandainya terpilih dalam kesebelasan utama.
"Peluang yang diberikan oleh jurulatih (Kim Pan Gon) sememangnya tidak akan dilepaskan tapi saya kena kerja lebih keras untuk lebih tangkas," katanya.
Penjaga gol berusia 27 tahun itu menambah ada perbezaan di antara skuad Piala AFF dan barisan pemain yang dipanggil untuk menjalani latihan pusat di Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam, di sini dan berharap setiap pemain memberi komitmen tinggi untuk beraksi pada perlawanan persahabatan nanti.
Dia juga menegaskan latihan di bawah pengendali dari Korea Selatan itu berintensiti tinggi kerana mahu memastikan bukan sahaja penjaga gol, malah kesemua pemain bersedia menghadapi aksi persahabatan itu.
"Apapun, saya tidak mahu letak diri saya dalam keadaan selesa, kerana setiap cabaran yang diberikan ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan kerana dalam permainan bola sepak bukan mudah menjadi pemain yang mantap," kata Syihan.
Artikel Berita Harian
Comments