Aksi menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu malam ini dijangka sukar, apatah lagi ia bakal berlangsung di depan 50,000 penyokong tuan rumah.
Sudah pasti, halangan sukar bakal ditempuhi barisan pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) yang akan bertandang ke venue keramat lawan bagi aksi separuh akhir Piala FA itu.
Ia dinyatakan pengendali KL City, Bojan Hodak yang mahu pemain sentiasa fokus sepanjang 90 minit aksi itu nanti.
Katanya, bukan mudah untuk menewaskan skuad Penyu di depan penyokong mereka, namun beliau percaya kejutan mampu dilakukan jika pemain memberi sepenuh komitmen dalam perlawanan kalah mati itu.
"Ya, kami pernah berdepan Terengganu pada pusingan pertama Liga Super sebelum ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, yang berakhir dengan keputusan seri.
"Dan saya akui bahawa Terengganu memiliki rekod yang cukup baik apabila beraksi di laman sendiri musim ini.
"Malah sokongan padu dalam kalangan para penyokong dalam stadium yang boleh menampung kira-kira 50,000 penyokong tuan rumah juga cabaran kepada pasukan KL City," katanya.
Lain pula nada yang dinyatakan oleh pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbrückner masih percaya kepada pemain-Nya, dan berharap mereka mampu menunjukkan permainan yang terbaik dihadapan penyokong sendiri.
Skuad The City Boys yang melalui musim yang agak cemerlang sejak dua tahun lalu apabila menjuarai Piala Malaysia pada musim 2021 dan muncul naib juara Piala AFC pada musim lalu, hanya tinggal selangkah untuk ke pentas final.
Piala FA bukanlah sesuatu yang asing buat KL City apabila pasukan itu pernah menjulangnya sebanyak tiga kali iaitu pada musim 1993, 1994 dan 1999.
Begitupun KL City perlu melepasi halangan Terengganu FC yang kini berada pada prestasi terbaik dalam saingan Liga Super.
Untuk rekod, Terengganu pernah memenangi Piala FA pada musim 2000 dan 2011.
Comentários