Skuad remaja negara terus kempunan memburu kemenangan selepas tewas 1-2 kepada Britain dalam Kejohanan Hoki Bawah 21 (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-12 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, pada rabu.
Kekalahan kali keempat berturut-turut itu menyaksikan Young Tigers terperosok di tangga terbawah tanpa sebarang mata dan akan berdepan Australia, Jumaat ini pada aksi terakhir secara liga saingan SOJC.
Skuad bimbingan I Vickneswaran bermula dengan baik selepas mampu mengimbangi kekuatan skuad kendalian Jon Bleby yang kerap memberi tekanan terhadap benteng Young Tigers namun penjaga gol, Mohamad Rafaizul Mohamad Sani berjaya menghalang percubaan berbahaya Britain.
Namun Young Tigers ketinggalan pada minit ke-15 suku pertama selepas pengadil dari Oman, Husaini Al Hasani menghadiahkan penalti dan Kaden Draysey mudah menewaskan Mohamad Rafaizul.
Tindakan berani Nur Aqirullah Mohd Khairul Anwar yang menyusup masuk ke dalam kawasan D pada minit ke-17 berjaya memperdaya benteng Britain sebelum bertindak melakukan pukulan kilas tepat, seterusnya menewaskan penjaga gol, Catum Douglas untuk mengikat kedudukan 1-1.
Anak didik Vickneswaran terlepas peluang untuk menambah jaringan pada minit ke-28 selepas pukulan sudut penalti yang diambil Muhammad Nabil Irfan Mohd Yusof hanya sipi di sebelah kiri gawang Britain.
Bersambung babak kedua suku ketiga, gawang Young Tigers terus dikawal kemas Mohamad Rafaizul selepas menidakkan tiga pukulan sudut penalti Britain.
Seharusnya Young Tigers menambah jaringan pada minit ke-39 namun gerakan solo Nur Aqirullah yang hanya berdepan Douglas gagal memukul bola tepat apabila penjaga gol Britain itu pantas melakukan hadangan.
Walaupun berjaya mengekang asakan Britain namun ketika aksi memasuki minit ke-53, benteng Young Tigers roboh selepas Monty Neave berjaya menghasilkan gol padang untuk meletak juara 2019 itu mendahului 2-1 dan jaringan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Terdahulu, New Zealand semakin hampir melangkah ke final buat pertama kali dalam penyertaan mereka di SOJC selepas menewaskan Jepun 3-1 apabila Jonty Elmes cemerlang mencipta hatrik pada minit kelapan, minit ke-20 dan minit ke-33. Sumber Artikel Berita Harian
Σχόλια