top of page
  • Writer's pictureSaluddin Ismail

“Taraf Liga Perlu Dipertingkatkan Demi Harimau Malaya” – Kim Pan-gon


Isu kecergasan pemain yang tercetus semasa perlawanan menentang Turkmenistan kembali berulang dalam perlawanan menentang Hong Kong semalam. Hal ini membuatkan jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon berpandangan taraf Liga Malaysia (Liga M) perlu dipertingkatkan demi menjaga kualiti pasukan kebangsaan.


Ini kerana dengan corak permainan pantas yang dipraktikkannya, ia memerlukan pemain mempunyai tahap kecergasan yang tinggi. Malangnya, sesetengah pemain terutama yang jarang diturunkan dalam Liga Super musim ini berdepan masalah mengekalkan tahap kecergasan yang diperlukan.


Atas sebab itu, Pan-gon amat berharap kualiti liga dapat dipertingkatkan termasuk dari segi lebih banyak minit permainan buat para pemain. Ini bagi memastikan pemain-pemain yang dipilih tidak mengalami masalah sama menjelang kalendar antarabangsa FIFA seterusnya pada Jun ini.


“Kita perlu menambahbaik dari segi strategi dan taktik tetapi secara fizikal, saya tak boleh melakukannya kerana ia berkait dengan standard liga. Jika kita mempunyai liga yang bagus dan kompetitif, secara automatik kita boleh menaikkan taraf (liga).


“Anda boleh lihat beberapa pemain tidak cukup cergas kerana kurang minit permainan. Jadi saya mahu menggalakkan mereka bermain secara kerap. Jadi itu harapan saya dan ia penting untuk kita membuat persediaan yang lebih rapi,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan Malaysia-Hong Kong semalam.


Di sebalik itu, Pan-gon lega dengan keupayaan anak-anak buahnya melakar kemenangan ke atas Hong Kong. Dalam 14 perlawanan yang dilalui di Malaysia, Harimau Malaya hanya tewas sekali kepada Bahrain dalam perlawanan kelayakan Piala Asia pada Jun tahun lepas.


Ini menunjukkan Harimau Malaya tidak gentar menentang mana-mana lawan di gelanggang sendiri walaupun sesetengah lawan mempunyai ranking FIFA yang jauh lebih baik. Dan itu diharap dapat dikekalkan menjelang kalendar antarabangsa FIFA yang seterusnya pada Jun ini.


“Objektif masih berterusan dan tidak akan terhenti tapi saya rasa perlu ada penambahbaikan dan ianya masih ada ruang untuk tingkatkan lagi kualiti permainan yang diterapkan dalam skuad Harimau Malaya.


“Seingat saya aksi di laman sendiri sejak Mac lalu memberikan keputusan posiif, hanya tewas kepada Bahrain sahaja. Ini adalah kubu kami, jadi sesiapa yang datang beraksi di sini sudah pasti kami mahu keputusan positif,” tambahnya.

7 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page