top of page
  • Writer's pictureMohammad Amirul Haqimi

TERENGGANU BERMULA DENGAN LANGKAH KANAN, PERAK PULANG HAMPA


Terengganu FC  bermula dengan langkah kanan pada aksi pembuka tirai Liga Super 2024/2025 selepas membenam pasukan Perak FC 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.


Kemenangan itu memastikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner tersenyum lebar dengan mengutip tiga mata penuh biarpun terpaksa berhempas pulas sehingga pertengahan babak kedua.


TFC terlebih dahulu mendapat gol pada minit keenam menerusi rembatan deras   Nurilo Tukhtasinov dari luar kotak penalti.


Tersentak jaringan itu, Perak FC(PFC) bangkit untuk menyamakan kedudukan, namun tandukan Firdaus Saiyadi pada minit ke-14 hanya sedikit tersasar di sebelah kanan gol tuan rumah yang dikawal Syed Muhammad Nasrulhaq.


Pada minit ke-38, skuad The Bos Gaurus sekali lagi berpeluang untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan pemain import, Luiz Henrique, bagaimanapun palang menjadi penghalang sekali gus terselamat pintu gol tuan rumah.


TFC berpeluang untuk menambah jaringan pada masa kecederaan pada babak pertama, namun percubaan Manuel Ott terkena benteng pertahanan sebelum singgah di tiang.


Bersambung babak kedua, pelawat dihadiahkan sepakan penalti selepas Manuel Ott menjatuhkan Lee Tae Min dan sepakan yang diambil kapten, Guaycochea Luciano pada minit ke-60 berjaya menyamakan kedudukan 1-1.


TFC yang beraksi di depan lebih 8,000 penyokong sendiri bagaimanapun tidak menunggu lama untuk sekali lagi berada di depan 2-1 menerusi jaringan sendiri Shivan Pillay pada minit ke-66 hasil hantaran silang pemain gantian, Nik Sharif Haseefy.


Pada minit ke-76, Luiz Henrique diarahkan keluar padang oleh pengadil, Suhaizi Shukri selepas menerima kad kuning kedua akibat mengasari Nik Sharif Haseefy.


Pada minit ke-81, pemain yang baharu masuk kurang seminit, Chukwu Nnabuike menambah derita pelawat apabila mudah memperdaya penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli untuk mengukuhkan kedudukan 3-1 sehingga tamat perlawanan.

3 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page