top of page
  • Writer's pictureMohammad Amirul Haqimi

TFC TIADA PILIHAN SELAIN MEMBALAS DENDAM ATAS KEKALAHAN ITU DI DEPAN PENYOKONG SENDIRI


TERENGGANU FC bakal menghadapi cabaran getir berdepan Kedah Darul Aman FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus, Terengganu malam ini selepas empat pemain import tidak dapat diturunkan.


Ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner mengakui ketiadaan dua tonggak import, Ivan Mamut dan Argzim Redzovic meresahkannya apabila kedua-dua pemain itu digantung satu perlawanan susulan menerima kad merah pada perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada 17 Jun lalu.


Selain itu, katanya, Sardor Kulmartov dan Syafiq Ismail masih dibelenggu masalah kecederaan manakala Jordan Mintah diketepikan daripada skuad utama dan akan beraksi dengan pasukan Terengganu FC II kerana masalah disiplin.


Steinbruckner berkata, bagi mengimbangi ketiadaan pemain di beberapa posisi, dia membawa masuk tiga pemain daripada skuad Terengganu FC II bawah 23 tahun iaitu Azfar Fikri, Syahmi Zamri dan ubaidillah shamsul.


"Kami mengadakan dua sesi latihan dan akan melihat apa yang boleh dilaksanakan mengikut perancangan diatur. Saya harap semua pemain dapat memberi tumpuan 100 peratus,” kata pengendali kelahiran Croatia itu selepas sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, Terengganu pada Ahad.


Menurutnya, perlawanan ke-15 Liga Super malam ini amat penting untuk memastikan skuad Penyu mengutip tiga mata sekali gus memperbaiki kedudukan lebih baik di carta liga.


TFC ketika ini menduduki tempat kelapan Liga Super dengan 20 mata manakala KDA FC, di bawah bimbingan Nafuzi Zain, di tangga keempat dengan 28 mata.

5 views0 comments

Commentaires

Noté 0 étoile sur 5.
Pas encore de note

Ajouter une note
bottom of page