Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) tidak merasakan bahawa pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin kuat seperti yang dilihat pada musim ini.
Baginda merasakan bahawa ada beberapa faktor yang menyebabkan skuad Harimau Selatan kelihatan begitu ampuh bagi saingan musim 2023.
Menerusi satu temubual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, TMJ menganggap setiap pasukan perlu hadir dengan perancangan sendiri untuk merangka perjalanan pasukan bagi memberi saingan terbaik.
“Saya rasa ia bukan soal JDT makin kuat. Anda perlu tanya soalan tersebut kepada pasukan-pasukan lain. Bukan kami (JDT) makin kuat, agak-agak perancangan yang salah, yang lain makin tak kuat.”
Ini juga dilihat bertitik-tolak disebabkan MFL tidak memperkenalkan sebarang penyingkiran pada musim ini dan membuat pasukan-pasukan di Liga Super berasa selesa.
Baginda juga memberi komentar mengenai cadangan JDT untuk bermain di liga luar adalah tidak berasas sama sekali.
“Benda itu tidak logik (main liga luar) kerana kita tak tengok Bayern Munich main di EPL, PSG main di Serie A atau Real Madrid main di England.”
“Setiap kelab perlu ada perancangan yang realisitik, dan kita bersaing. Kita tak lihat Atletico Madrid, Sevilla atau Villareal mengadu mengenai Real Madrid. Semua kelab ada perancangan sendiri untuk terus bersaing,” jelasnya kepada Astro Arena.
TMJ menganggap pasukan lain tidak perlu menuduh JDT terlalu kuat tetapi memfokuskan usaha untuk memperkuatkan pasukan sendiri. Sumber Info : Astro Arena, MakanBola
Comments