top of page
  • Writer's pictureSaluddin Ismail

TMJ: Misi Dominasi Sedekad Belum Selesai


Dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) menduduki kedudukan pendahulu liga ketika ini, ramai percaya ini bakal menjadi satu lagi musim kejayaan buat Harimau Selatan. Tetapi bagi Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, ini takkan berlaku tanpa sokongan padu para penyokong.


Dengan satu lagi perlawanan sukar menentang Sabah pada 31 Mac ini, JDT amat memerlukan sokongan penyokong untuk memastikan satu lagi kemenangan dapat diraih. Ini sekaligus memperkukuh kedudukan mereka sebagai pendahulu liga.


Di sebalik pelbagai trofi yang diraih sejak 2014 termasuk Liga Super dan Piala AFC, Tunku Ismail tidak mahu berhenti di situ saja. Sebaliknya, baginda mahu Harimau Selatan terus melakar kegemilangan termasuk dominasi dalam tempoh 10 tahun.



“Jumpa di Stadium Sultan Ibrahim hari Jumaat ini keluarga JDTku. Misi belum selesai untuk mencipta sejarah mendominasi satu dekad. Perjalanan masih jauh.


“Demi Johor, demi kelab kami, demi keluarga biru merah putih kami. Kami adalah pencipta sejarah dan peneraju dalam setiap aspek. Ini adalah satu fakta dan bukan cerita dongeng atau halusinasi. Jumpa hari Jumaat ini. Hidup Johor, Muafakat Itu Berkat. Allah Peliharakan Sultan,” titahnya dalam satu catatan Instagram hari ini.


Sabah ketika ini menduduki tempat kedua Liga Super dengan 13 mata, dua mata di belakang Harimau Selatan. Sekiranya berjaya meraih kemenangan ke atas JDT, Sabah akan merampas kembali kedudukan pendahulu liga – satu perkara yang mahu dielak anak-anak buah Esteban ‘Tano’ Solari.


Justeru, dengan perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim pada 31 Mac ini, JDT pastinya mahu menceriakan penyokong dengan satu lagi kemenangan biarpun berdepan lawan yang sukar.

14 views0 comments

留言

評等為 0(最高為 5 顆星)。
暫無評等

新增評等
bottom of page