Biarpun menang tipis, pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbrukner masih berpuas hati dengan prestasi pemain yang akhirnya berjaya merakam kejayaan kedua pada musim ini selepas enam perlawanan.
Jurulatih kelahiran Croatia itu menyifatkan prestasi anak buahnya semakin meningkat daripada satu perlawanan ke satu perlawanan walaupun deretan peluang yang terhidang gagal disudahkan dengan jaringan oleh barisan penyerang.
"Walaupun sekadar menang tipis, saya tetap berpuas hati apabila kami dapat mengutip tiga mata berharga hasil dua jaringan awal itu, ia bukan tugasan mudah buat pemain kerana lawan bangkit untuk memburu jaringan terutama pada babak kedua dengan menekan permainan selain melakukan percubaan tepat.
"Kita tahu sebarang kelekaan walaupun sesaat boleh mengundang padah, lawan boleh menjaringkan gol, ketika kita mendahului 2-0, lawan giat menyusun gerakan untuk mencari gol, akhirnya mereka berjaya membolosi gawang kita pada 15 minit terakhir perlawanan.
"Namun pemain kami berjaya mengekang asakan lawan hingga wisel penamat ditiupkan pengadil, kejayaan ini adalah sesuatu yang baik selepas perlawanan terakhir sebelum ini kami tewas 2-1 kepada Negeri Sembilan.
"Bagaimanapun ada kelemahan yang perlu diperbaiki segera terutama banyak peluang terhidang gagal disudahkan dengan jaringan, sepatutnya lebih banyak gol diperoleh malam ini (malam tadi) kerana banyak peluang dapat dicipta, namun sebaliknya hanya dua jaringan terhasil," katanya.
Comentários