KEHANGATAN kejohanan Pestabola Merdeka 2024 nampaknya tidak mendapat sambutan seperti tahun lepas apabila beberapa ultras negeri sudahpun mengumumkan akan memboikot pertandingan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu.
Antaranya ultras Kuala Lumpur, Penang, Sabah dan Pahang yang tidak berpuas hati dengan isu-isu dalaman FAM sehingga penyokong mendakwa bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menjadi 'kambing hitam'.
Bukan sahaja boikot kejohanan itu, tiga ultras negeri itu turut mengajak penyokong bola sepak agar tidak memberikan sokongan di stadium sambil melancarkan kempen #resetbolasepakMalaysia.
Ultras Penang atau dikenali sebagai Ultras Panther turut menjelaskan sebab mengapa kumpulan itu memboikot kejohanan tersebut.
"Setelah perbincangan dilakukan dan maka dengan seteguh semangat dan sebulat kata, Ultras Panthers tidak akan turun untuk semua perlawanan di Pestabola Merdeka 2024. FAM dan MFL gagal!
"Isu perletakan jawatan coach KPG yang sangat kontroversi dan jawapan dari FAM penuh sandiwara.
"Keadaan pengurusan Liga Malaysia yang makin merapu dari MFL serta beberapa keputusan dari MFL dan FAM berkait isu-isu semasa baru-baru ini yang menimbulkan banyak keraguan dan tiada penjelasan.
"Kegagalan FAM dalam mengatur perlawanan persahabatan yang diminta KPG sebelum Kelayakan Piala Dunia baru-baru ini membawa kepada kegagalan layak ke pusingan ketiga.
"FAM tidak mengambil serius isu surat layang berkaitan kebobrokan peringkat dalaman FAM dan tiada empati atas kejadian yang menimpa pemain kebangsaan terutama kes Faisal Halim,” kalat Ultras dipetik dari kenyataan di laman X.
Pestabola Merdeka edisi kali ini disertai oleh empat pasukan termasuk Malaysia sebagai tuan rumah manakala tiga lagi pasukan ialah Filipina, Lebanon dan Tajikistan.
Malaysia akan bertemu Filipina (4 September) pada perlawanan pertama manakala Tajikistan akan bertemu Lebanon. Pemenang akan mara ke perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 8 September. Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Majoriti sedang mendapatkan respons FAM berhubung kempen boikot yang dilancarkan tiga ultras tersebut. — Majoriti
Comments