Format saingan Unifi Piala Malaysia 2024-2025 kekal dengan penglibatan 16 kelab yang akan membawa cabaran bermula di pusingan 16 perlawanan.
Aksi pusingan 16, suku akhir dan separuh akhir akan dimainkan secara timbal balik sama seperti edisi sebelum ini.
Sedikit pembaharuan dilakukan pada musim ini iaitu sebanyak tiga kelab daripada Liga A1 Semi Pro akan menyertai kejohanan tertua di rantau Asia ini berbanding musim lalu hanya dua kelab.
Tiga kelab tersebut adalah kelab yang menduduki tangga tiga teratas saingan pusingan pertama Liga A1 Semi Pro 2024-2025 iaitu Melaka FC, PT Athletic FC dan Kuala Lumpur Rovers FC yang bakal berentap bersama-sama 13 kelab Liga Super yang lain.
Proses undian pada musim ini menyaksikan kelab yang berada di tangga pertama hingga ke-8 selepas pusingan pertama Liga Super layak secara automatik ke pusingan 16 selaku pasukan ‘seeded’.
Manakala baki lima kelab yang berada di kedudukan ke-9 hingga 13 selepas pusingan pertama Liga Super akan diundi bersama-sama tiga kelab teratas Liga A1 Semi-Pro untuk menentukan lawan masing-masing bertemu pasukan ‘seeded’ dan undian akan dijalankan secara terbuka.
Mengikut perancangan awal, perlawanan pertama pusingan 16 Unifi Piala Malaysia dijangka bermula pada 20 November (tertakluk kepada perubahan).
Bagi pasukan yang tidak dapat meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir Unifi Piala Malaysia secara automatik akan bertanding di pentas MFL Challenge Cup 2024-2025.
Undian Unifi Piala Malaysia ini akan berlangsung pada 11 November 2024.
コメント