top of page
Writer's pictureEditor

[VIDEO]: RANGKUMAN AKSI TANGKAS & TENANG HAKEEM HAMIDUN DENGAN 8 AKSI MENYELAMAT YANG HAMPIR BERJAYA


Nama Hakeem Hamidun tiba-tiba sahaja menjadi sebutan peminat bola sepak tempatan apabila aksi tangkas dan tenang penjaga gol itu hampir sahaja membuatkan JDT kehilangan mata buat kali pertama pada musim ini.


Berusia 21 tahun dan melakukan penampilan pertama di saingan Liga Super menentang juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, siapa sangka Hakeem mengakhiri perlawanan sebagai Anugerah Pemain Terbaik pada malam tadi.


Apatah lagi JDT sebelum ini begitu cemerlang meratah lawan-lawan yang lebih gah dan berpengalaman sepanjang lapan perlawanan lalu.



Malah sebelum pertemuan menentang PDRM pada malam tadi, JDT telah menjaringkan 35 gol.


Dan pada ketika senarai nama pemain kesebelasan utama diumumkan pada malam tadi, tidak ramai peminat bola sepak tempatan menjangkakan penjaga gol yang melakukan debut kompetitif pertamanya di liga tertinggi bola sepak negara mampu mengekang rangkaian serangan JDT seperti Arif Aiman, Fernando Forestiero, Bergson da Silva, dan Leandro Velasquez.


Perlawanan akhirnya berakhir dengan kemenangan 1-0 kepada JDT hasil jaringan tunggal Fernando Forestieri pada babak kedua perlawanan.



Namun ketangkasan Hakeem Hamidun menyukarkan JDT yang mengasak secara bertali arus sepanjang babak pertama perlawanan berjaya mencuri perhatian ramai.


Secara keseluruhan JDT menghasilkan 13 percubaan ke arah gawang yang dikawal Hakeem, dan sembilan daripadanya menepati sasaran.


Penjaga gol muda itu berjaya menyelamatkan lapan daripadanya, dan kemuncaknya sudah pasti apabila beliau berjaya membaca dan menangkap kemas sepakan penalti Bergson da Silva pada minit ke-44 perlawanan.


Bercakap kepada media selepas perlawanan, Hakeem Hamidun sempat berkongsi inspirasi yang membuatkan beliau tampil begitu cemerlang dalam perlawanan malam tadi.


“Sebenarnya saya nak buktikan kepada mak saya yang saya selalu support (menyokong) saya sejak kecil. Saya nak buktikan saya boleh buat (berjaya), itu sahaja,” ujarnya ringkas.



Mengakui tahap perbezaan dan kualiti saingan di Piala MFL dan Liga Super adalah sangat berbeza, Hakeem Hamidun sebenarnya bukan watak asing buat JDT.

Ini kerana beliau sebelum ini pernah menyertai akademi JDT dan beraksi bersama skuad JDT III di saingan Piala Presiden sebelum berhijrah menyertai PDRM FC.

Hakeem Hamidun sebelum ini juga merupakan penjaga gol skuad Sukma Terengganu yang meraih pingat emas di temasya sukan itu pada tahun lalu.

Aksi hebat penjaga gol muda itu pasti akan terus ditagih oleh Ketua Jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz dalam mengharungi baki saingan Liga Super selepas ini bermula dengan perlawanan menentang KL City pada 27 April hadapan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. Sumber Info : Grandstandkita, Harimau Malaya, Astra Arena, MakanBola

3 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page