YDPA: PENCAPAIAN LUAR BIASA, PIALA KE-29 SEJAK JDT DITUBUHKAN
- Editor
- Feb 25
- 1 min read

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut meraikan kejayaan kelab terbaik Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT), yang dinobatkan selaku juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), semalam.
Seri Paduka Baginda turut menyampaikan ucapan tahniah kepada salah satu gergasi Asia itu atas pencapaian yang memberangsangkan tersebut menerusi satu hantaran di laman rasmi Instagram.
Terdahulu, skuad kendalian Hector Bidoglio berjaya memenangi perlawanan bertemu Perak 2-0 melalui jaringan bekas pemain Real Madrid, Jese Rodriguez Ruiz dan penalti yang yang disempurnakan penyerang berbisa, Jorge Leonardi Obregon Rojas.
"Pencapaian yang cukup luar biasa ini menandakan kejuaraan liga ke-11 berturut-turut buat pasukan Harimau Selatan dan merupakan piala yang ke-29 sejak ditubuhkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pada tahun 2013,” titah baginda.
Kutipan tiga mata penuh itu menyaksikan juara Piala FA 2024 itu mempertahankan kejuaraan Liga Super, sekali gus mengekalkan dominasi penuh pasukan terkuat saingan Liga Malaysia (Liga-M).
JDT sekali lagi berpeluang melengkapkan semua koleksi trofi termasuk melakar sejarah 'Triple Quadruple' dalam tiga musim berturut-turut apabila bakal membuat perhitungan berdepan Sri Pahang dalam aksi akhir Unifi Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), April depan.
Ia secara keseluruhan membuatkan JDT berjaya merangkul gelaran liga, Piala Sumbangsih dan Piala FA musim ini. Sumber Artikel Stadium Astro
Comments